Friday, August 20, 2010

PELAJAR FPI SEPI TANPA AL-QURAN ?..

Al- Quran itu seumpama kekasih. Mungkin itulah tafsiran mudah untuk menerangkan perkaitan Al-Quran dalam kehidupan kita seharian. Ternyata, apabila sesuatu itu menjadi kekasih hati kita, maka pelbagai cara kita menzahirkan rasa cinta yang begitu mendalam apa bentuk dan cara apa sekalipun. Dan sememangnya jika kita bercinta dengan sesuatu itu mengharap cinta kita tidak bertepuk sebelah tangan!. Dari itu, marilah kita merenung sejauh mana hati kita benar-benar mencintai Al-Quran?Kalam Allah Yang Maha Agung. Bagaimanapun, manusia pada hari ini sudah ramai yang meninggalkan kalam Allah ini dan menganggap ianya hanya perlu dibaca ketika diperlukan sahaja serta kalam Allah ini semakin ditinggalkan.

Perkara ini jelas dapat dilihat dalam kalangan pelajar pengajian Islam itu sendiri apabila mereka sudah kurang mengamalkan amalan membaca al-Quran, yang mana sikap ini sangat penting untuk menjadikan seseorang itu dekat dengan Penciptanya. namun apabila dikaitkan dengan sekeping warkah daripada orang yang kita cintai, pasti akan ditatap sepuas-puasnya malah berulang kali dibaca. Namun, hakikatnya akan timbul juga rasa jemu kelak. Tidakkah ia hanya sekadar bahasa yang tidak memiliki sebarang keistemewaan berbanding Al-Quran, biarpun kita membacanya berulangkali, tidak sedikit pun kita akan merasa jemu apatah lagi membencinya.

Allah berfirman dalam surah al-Ra’d ayat 28 yang bermaksud "(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram. Ketahuilah dengan 'zikrullah' itu , tenang tenteramlah hati manusia". Malah dijanjikan oleh Allah sesiapa yang ikhlas mengharap keredhaan Allah. Dengan memperbanyakkan zikrullah (mengingati Allah) maka dia akan memperolehi ketenangan yang membahagiakan. Dan zikru-llah yang paling afdal (terbaik) itu ialah membaca Al-Quran. Seterusnya Allah SWT juga menyatakan keistemewaan kekasih ini iaitu Allah SWT menurunkan dengan sebaik-baiknya perkataan. ".

Al-Quran juga merupakan kekasih yang perlu dimuliakan kerana sifatnya yang berkat dan banyak manfaatnya. Dengan itu Allah telah menyeru kita agar mematuhi kandungan kekasih itu kerana dengan itu kita akan memperolehi keberkatan daripada-Nya. Inilah antara kebesaran yang terdapat pada al-Quran dan jelas menunjukkan kita sebagai umat Islam seharusnya membaca al-Quran walaupun hanya beberapa huruf sahaja sehari.

Sesiapa yang mengamalkan membaca al-Quran pasti jiwanya akan menjadi tenang. Perkara ini bersesuaian dengan kehadiran bulan yang berkat iaitu bulan ramadhan di mana kita digalakkan untuk mempertingkatkan ibadat kita kepada Allah Taala. Oleh itu dengan membaca al-Quran kita akan dapat menambahkan amalan dibulan mulia serta dapat mendekatkan diri kita kepada pencipta Yang Esa sekaligus tidak melupakan kekasih yang agung buat kita sebagai manusia di dunia ini. Jangan hanya ingin menjadi kekasih yang setia kepada manusia sahaja tetapi jadilah juga diri kita sebagai kekasih yang setia kepada al-Quran. Cukuplah sekiranya kita dapat membacanya sekadar beberapa patah sahaja daripada ianya ditinggalkan dan dilupakan terus oleh kita. Biarlah hati kita merasa sedih kerana tidak dapat membaca al-Quran, bukannya merasa sedih kerana tidak dapat membaca mesej serta surat daripada kekasih yang kita cintai. Hal ini kerana cintailah al-Quran terlebih dahulu sebelum mencintai manusia.

Bagaimanapun itulah realitinya pada hari ini, yang mana para pelajar terutamanya yang mengambil dalam bidang pengajian Islam, mereka sudah sunyi dari amalan yang mulia ini, mereka lebih sibuk dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan kebahagian di dunia sahaja, namun mereka juga terlupa untuk mencari kebahagiaan di akhirat. Mereka membaca al-Quran hanya bila diperlukan sahaja dan bukannya menjadi rutin harian mereka lagi.

Al-Quran akan menjadi panduan buat kita sebagai seorang pelajar Islam kerana apa yang kita lakukan juag perlu berlandaskan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Kesetiaan dalam percintaan adalah jaminan kebahagiaan hati. Begitulah juga seandainya kita menjalinkan cinta bersama al-Quran. Namun begitu, orang yang bercinta dengan al-Quran akan sentiasa mengukur kesetiaan dirinya terhadap al-Quran. Lalu apakah ukurannya, bukankah qiamullail itu adalah satu pengukur yang paling relevan?Ini kerana kesukaran untuk menunaikan ibadah pada malam hari dengan tidur yang sedikit itu menggambarkan pengorbanan. Untuk menyiapkan asainment kita sanggup tidak tidur malam, namun adakah kita sanggup untuk berjaga malam semata-mata untuk beribadah kepada Allah?. Tanyalah pada diri sendiri dan hanya kita yang mampu menjawabnya.

No comments:

Post a Comment